Isnin, 13 April 2015

KENALI ASAP KERETA ANDA

Proride Info - Diagnos Sendiri Engin Kereta Anda


Tahukah anda, dengan hanya melihat asap ekzos, anda sudah boleh mendiagnosis sendiri keadaan sesebuah enjin? Kebolehan untuk mendiagnosis ini bukan  sahaja membolehkan anda mengetahui tahap ‘kesihatan’ enjin, malah juga boleh menggunakannya semasa membeli kereta terpakai atau enjin terpakai dari kedai ‘halfcut’ untuk mengelakkan daripada tertipu. Warna asap ekzos akan menggambarkan bagaimana tahap pembakaran dalam enjin anda. Justeru, keadaan  komponen dalaman enjin anda juga dapat diduga berdasarkan hasil pembakaran tersebut. 




Asap putih/wap air/ air daripada paip ekzos ketika waktu pagi atau sejuk. Jika ini merupakan hasil daripada pembakaran enjin anda, tahniah. Anda mempunyai enjin yang sangat sihat. Injap dan gegelang omboh masih lagi dalam keadaan kedap, sistem pancitan bahan api (EFI) berfungsi dengan sempurna dan karburetor (jika menggunakan karburetor) berada pada talaan yang paling sempurna. Petrol mempunyai unsur Karbon (C) dan Hidrogen (H), manakala dalam udara pula mempunyai unsur Oksigen (O). Jadi jika semua komponen dalaman enjin kedap, karburetor atau sistem EFI mendapat talaan campuran udara dan bahan api dengan nisbah 14.7:1, ia akan menghasilkan pembakaran yang sempurna. Jadi setelah petrol dan oksigen terbakar dengan sempurna dan bertindak balas, hasil pembakaran tersebut akan menjadi air (H20) setelah bercampur pula dengan udara sejuk sekeliling yang mempunyai lebih oksigen.

Asap Hitam
Asap hitam adalah berpunca dari talaan nisbah campuran udara dan petrol yang terlalu ‘rich’ iaitu nisbah petrol yang lebih banyak daripada biasa. Biasanya asap hitam ini akan datang sekali dengan masalah penggunaan petrol yang meningkat. Bau petrol pada ekzos juga agak kuat. Jika anda menggunakan sistem pancitan bahan api elektronik, ia perlulah diperiksa di pusat servis bertauliah menggunakan komputer pengimbas untuk mengesan masalah atau komponen yang tidak berfungsi dengan sepatutnya. Tidak seperti karburetor, sistem  pancitan bahan api elektronik ini mempunyai memori yang telah disetkan dan talaannya tidak akan salah jika semua komponen berfungsi dengan baik. Dan jika anda menggunakan karburetor, ia memerlukan talaan semula untuk membetulkan nisbah campuran udara dan bahan api mengikut spesifikasi yang sepatutnya. Bawa kereta anda kepada mekanik yang  berpengalaman kerana karburetor ini komponen yang sangat sensitif. Jika tersalah tala, mungkin kereta anda akan lebih kuat penggunaan petrolnya atau mungkin akan kehilangan kuasa! 

Asap kelabu kebiruan
Apabila ekzos mengeluarkan asap biru atau kelabu, ini bermaksud ada kebocoran minyak enjin ke dalam kebuk pembakaran yang menyebabkan minyak enjin terbakar sekali bersama campuran petrol dan udara. Masalah ini pasti akan datang sekali dengan masalah minyak enjin yang kerap berkurangan dan perlu ditambah. Kebocoran ini berpunca sama ada daripada valve seal pada kepala silinder yang bocor atau lebih teruk mungkin disebabkan kebocoran pada gegelang omboh. Apa  yang pasti, Top overhaul perlu dilakukan pada enjin anda untuk menggantikan valve seal yang bocor. Dan mungkin juga proses major overhaul perlu jika didapati gegelang omboh sudah tidak kedap lagi. 

Asap putih yang berterusan 
Jika asap putih ini berterus keluar  dari ekzos, ini bermaksud air dari water jacket di sekeliling blok enjin anda sudah memasuki kebuk pembakaran. Masalah ini semestinya akan datang sekali dengan masalah suhu enjin yang naik mendadak berbanding suhu normal. Air tersebut masuk boleh berpunca dari gasket kepala silinder yang bocor atau ia sudah rosak menyebabkan air terlepas ke kebuk pembakaran. Senario paling teruk, air tersebut akan bercampur dengan minyak enjin dan anda boleh mengesannya setelah membuka penutup minyak enjin-minyak enjin anda akan berubah warna kepada warna seakan-akan teh tarik. Penyelesaiannya sudah tentu Top overhaul perlu dilakukan ke atas enjin tersebut. 

Semoga Semua informasi ini dapat meningkatkan sedikit sebanyak pengetahuan anda.

Terima Kasih.

Credit to BRO AZROL 
BANDAR BARU BANGI
PRORIDE Dealer